EC145 Masa Depan Respons Kecemasan Udara

Demontrasi menyelamat menggunakan helikopter enjin berkembar EC145 untuk kegunaan khas HEMS di Hotel Palace of Golden Horses (POGH) Seri Kembangan, Isnin.

Model helikopter baru tercanggih, EC145 dijangka dapat merealisasikan usaha negara ke arah mempertingkatkan respons bantuan kecemasan.
Unit helikopter yang dilengkapi kemudahan paling komprehensif untuk kegunaan misi pengangkutan perubatan udara di pedalaman Sabah itu merupakan tambahan kepada hampir 40 buah unit sedia ada, di seluruh negara.
Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Prof Datuk Dr Abu Hassan bagaimanapun berkata, yang penting kini adalah memantapkan integrasi antara Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kita memerlukan integrasi sahaja, ciri-ciri lain sudah sedia. Sebuah jawatankuasa kerja telah ditubuhkan untuk meneliti aspek kelemahan waktu respon, keperluan, kemudahan, kelengkapan dan terutama sumber tenaga pakar.
"Pada masa ini, kita tidak mempunyai pakar perubatan kecemasan udara sebaliknya tugas itu digalas pegawai perubatan bomba dan JPA yang cukup terlatih untuk mengendalikan situasi kecemasan," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.
Eurocopter Malaysia menyerahkan helikopter EC145 kepada Sabah Air Aviation yang dipilih khas selepas penilaian terperinci untuk kegunaan perkhidmatan perubatan kecemasan helikopter (HEMAS) terutama misi menyelamat di utara Borneo.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Eurocopter Malaysia, Pierre Nardelli berkata, ambulan helikopter memainkan peranan penting dalam pelbagai situasi di seluruh dunia dan negara sedang menuju ke arah konsep sama.
"Di seluruh dunia, EC145 digunakan oleh hospital, penyedia perkhidmatan perubatan, syarikat pengangkutan minyak dan gas juga pengendali parapublik selain dipilih oleh tentera Amerika Syarikat (AS) sebagai Light Utility Helicopter," katanya.
Eurocopter merupakan pengeluar utama helikopter untuk tujuan perkhidmatan perubatan kecemasan menggunakan model EC135 (kini digunakan di Sarawak) dan EC145. Enjin berkembar bersaiz sederhana EC145 menawarkan pencapaian terbaik dan kebolehgunaan kabin bersaiz besar dengan kos pengendalikan yang ekonomik.
Bentuk kompaknya membolehkan helikopter itu dikendalikan dalam zon pendaratan sempit sementara ciri-ciri bilah utama dan belakangnya menjamin lebih keselamatan dan akses ketika mengambil atau menurunkan pesakit walaupun ketika bilahnya masih berputar.
Satu-satunya helikopter dalam kategorinya, Eurocopter turut bekerjasama dengan pengeluar kenderaan mewah, Mercedes-Benz untuk membangunkan edisi khas EC145 dengan reka bentuk khas yang menggabungkan gaya, kelas dan keselesaan dengan kegunaan praktikal.

sumber: mistar
BAGIKAN PRINT
EC145 Masa Depan Respons Kecemasan Udara - Written by Unknown , Published at 19.28 . And Have 0 comments

BACA JUGA ARTIKEL MENARIK LAINYA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

 
Copyright © 2015. DIKABARKAN. Powered by Blogger